KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan subsidi minyak bagi Sabah dan Sarawak masih diteruskan ketika ini, namun semua pihak perlu kekal berwaspada terhadap kemungkinan kesan daripada konflik di Timur Tengah.
Beliau berkata, walaupun harga pasaran global menunjukkan peningkatan akibat ketidaktentuan geopolitik, Sabah masih berada dalam keadaan terkawal berbanding beberapa negara lain yang sudah berdepan dengan krisis tenaga.
“Setakat ini subsidi masih diteruskan. Kita memahami keadaan sekarang akibat peperangan di Timur Tengah. Negara lain telah menghadapi krisis tenaga, tetapi kita di Malaysia, khususnya di Sabah, masih bernasib baik.
“Tapi kita harus berwaspada. Jika peperangan ini berpanjangan, kemungkinan kita juga akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai langkah seterusnya berdasarkan situasi global.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat intervensi berkaitan perkara tersebut dijangka diadakan selepas mendapat panggilan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan mendengar taklimat daripada pegawai-pegawai. Saya dimaklumkan Perdana Menteri akan memanggil mesyuarat, jadi kita lihat bagaimana perkembangan seterusnya,” katanya.






