Balak, Jentera Dirampas di Sook Bukan Haram, Hanya Ketidakpatuhan Pentadbiran – Jabatan...

Balak, Jentera Dirampas di Sook Bukan Haram, Hanya Ketidakpatuhan Pentadbiran – Jabatan Perhutanan

0
SHARE

SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sabah menegaskan bahawa kayu balak dan jentera pembalakan yang dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di Sook baru-baru ini bukan melibatkan aktiviti haram, sebaliknya hanya berkaitan ketidakpatuhan pentadbiran.

Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara berkata, dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan rampasan tersebut dengan pembalakan haram adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Dakwaan bahawa kayu balak dan jentera yang dirampas itu berkaitan dengan pembalakan haram adalah tidak tepat dan mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati lokasi penyimpanan balak di Batu 63, Jalan Nabawan–Sapulut merupakan pusat pengumpulan sementara yang diluluskan, manakala kayu balak berkenaan adalah hasil daripada lesen sah Blok YK2/2023 (NFM) milik Yayasan Sabah.

Katanya, operasi pembalakan di kawasan itu dilaksanakan mengikut prinsip Pengurusan Hutan Berkekalan dan menggunakan kaedah Reduced Impact Logging (RIL), selain semua kayu balak direkodkan dalam Borang CS (Check Scaling) serta menggunakan Transit Pass yang sah.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 28 unit jentera pembalakan turut dirampas dan didapati berdaftar serta mematuhi keperluan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Bagaimanapun, siasatan mengesahkan berlaku ketidakpatuhan pentadbiran melibatkan pemindahan balak tanpa tanda tukul hak milik dan tanda pemeriksaan jabatan.

“Kesalahan ini tidak ditakrif sebagai pembalakan haram, namun pelesen telah dikenakan denda mengikut syarat lesen yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej pengurusan hutan negeri.

Jabatan Perhutanan Sabah akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan sumber hutan negeri dilindungi dan semua aktiviti pembalakan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Pada 17 Mac lalu, kegiatan pembalakan dipercayai menyalahi peraturan terbongkar selepas pasukan keselamatan melaksanakan Operasi Sawmill di kawasan pedalaman di Sook.

Operasi bersepadu yang dijalankan itu melibatkan Cawangan Risik dan Task Force Batalion 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) Keningau bersama Jabatan Perhutanan Sabah Cawangan Sook, hasil maklumat risikan yang diperoleh.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan berkenaan dipercayai dijadikan tempat pengumpulan kayu balak yang disyaki tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk ketiadaan nombor siri balak, Property Hammer Mark (PHM) serta tanda tukul Jabatan Perhutanan.