Kematian Berkaitan Senjata Api Dalam Kalangan Kanak-Kanak, Remaja AS Meningkat

Kematian Berkaitan Senjata Api Dalam Kalangan Kanak-Kanak, Remaja AS Meningkat

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan..

WASHINGTON – Pusat Penyelidikan Pew mengeluarkan satu analisis yang menunjukkan kematian berkaitan senjata api dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat (AS) melonjak 50 peratus (50%) dalam tempoh dua tahun ini.

Sebelum penularan wabak COVID-19 pada 2019, angka kematian akibat senjata api di kalangan kanak-kanak dan remaja AS yang berumur di bawah 18 tahun ialah 1,732.

Bagaimanapun, menjelang 2021, angka berkenaan meningkat dengan ketara kepada 2,590 orang.

“Kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada 2.4 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada 2019 kepada 3.5 setiap 100,000 dua tahun kemudian, iaitu peningkatan 46 peratus,” lapor Agensi Anadolu memetik analisis itu.

Pusat Penyelidikan Pew menjalankan analisis berikutan kejadian tembakan di sebuah sekolah di Nashville, Tennessee pada 27 Mac yang mengorbankan enam orang, termasuk tiga kanak-kanak.

Pusat Penyelidikan Pew menganalisis statistik kematian tahunan terkini daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).