Zahid Beri Jaminan Kedudukan Hajiji Sebagai Ketua Menteri Kekal Sehingga Habis Penggal

Zahid Beri Jaminan Kedudukan Hajiji Sebagai Ketua Menteri Kekal Sehingga Habis Penggal

0
SHARE

PAPAR, SABAH – Barisan Nasional (BN) – UMNO memberi jaminan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri dan kerajaan negeri dibawah pimpinannya akan terus kekal sehingga habis penggal nanti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan perpaduan yang wujud sama ada di peringkat pusat dan negeri Sabah mempunyai jalinan hubungan erat sesama parti politik masing-masing.

Oleh itu, beliau berpendapat adalah amat penting situasi tenang diwujudkan di antara pelbagai parti politik terutamanya di peringkat negeri ini.

“Kita berada dalam fasa atau ruang di mana kita terus berhasrat untuk mewujudkan situasi tenang di antara pelbagai parti di negeri Sabah ini.

“Untuk UMNO sendiri, saya telah memberitahu rakan-rakan saya daripada UMNO-BN Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang mengguris perasaan atau hati mana-mana pihak.

“Terdapat beberapa langkah penyelesaian yang sedang dilakukan. Kita mencari cara terbaik supaya kerajaan yang sedia ada dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum (PRN) yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan bertempat di Masjid Jamek Kampung Benoni, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Ahmad Zahid turut berkata pihaknya juga berharap pemegang jawatan yang sedia ada dikekalkan jawatan mereka seperti yang telah dipersetujui bersama.

“Pada waktu yang sama, kita juga mengharapkan agar jawatan sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan atau ketua kampung hendaklah dikekalkan seperti yang mana telah dipersetujui…

“Kita tidak mahu ada penukaran disebabkan perkara-perkara (berkaitan kemelut politik) di antara Semenanjung dan Sabah,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata pihaknya juga telah melakukan beberapa koordinasi untuk menstabilkan kerajaan negeri dan mempertahankan kedudukan yang ada di Sabah.

Selain itu, Ahmad Zahid turut ditanya pemberita mengenai kenyataan Presiden Parti Warisan (WARISAN) yang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan parti politik lain di Sabah pada PRN akan datang.

Menjawab soalan terbabit, beliau berkata pihaknya mampu dan berhasrat untuk bekerjasama dengan parti politik lain khususnya dalam 20 parti berbeza di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Pada 14 Mei nanti, kita akan mengadakan konvensyen semua parti dalam kerajaan dan akan ada pengumuman penting yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan kelak,” katanya.