KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mengusir seramai 124 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Republik Indonesia dalam siri ke-19 program itu pada Khamis.
Tahanan terdiri daripada 106 lelaki dan 14 orang perempuan termasuk empat orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha berkata program dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia itu dijalankan menerusi pengangkutan laut dari Pelabuhan Tawau secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia.
“Pemindahan pada kali ini melibatkan tahanan PATI dari Depot Imigresen Kota Kinabalu seramai 42 orang, Depot Imigresen Papar seramai 30 orang dan Depot Imigresen Sandakan iaitu seramai 52 orang.
“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963…
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau mengingatkan semua warga asing untuk memastikan mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Setiap majikan juga turut diingatkan agar bertanggungjawab dengan memastikan pekerja yang digaji mempunyai dokumen dan Pas Kerja yang sah untuk diambil bekerja.
“Kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang negara pasti akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan perundangan sedia ada.
“Ini kerana semua agensi penguatkuasaan di seluruh negeri Sabah akan bersama-sama melakukan operasi penguatkuasaan secara berterusan dari masa ke semasa,” tegasnya.