ANWAR ANGKAT SUMPAH JADI PM KE 10 HARI INI

ANWAR ANGKAT SUMPAH JADI PM KE 10 HARI INI

0
SHARE
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Nov mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. ..

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini sekitar jam 5.06 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan terbabit selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara yang diadakan pada pagi tadi.

Dalam sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu bahawa proses pelantikan Perdana Menteri baharu adalah susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.