Sultan Johor Dipilih Sebagai YDPA ke -17

Sultan Johor Dipilih Sebagai YDPA ke -17

0
SHARE
Johor
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar (kiri) sekitar Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook Perdana Menteri )

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Memetik sumber Berita Harian, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial dalam kenyataan berkata pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

Syed Danial berkata, Majlis Raja-Raja turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

“Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang berlangsung hari ini dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Ia dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja ini sudah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen. Perdana Menteri turut dimaklumkan,” katanya.