Penganjuran Minggu Solidariti Palestin: KPM Larang Sebarang Unsur Ekstremisme, Keganasan

Penganjuran Minggu Solidariti Palestin: KPM Larang Sebarang Unsur Ekstremisme, Keganasan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sebarang unsur ekstremisme dan keganasan dilarang sama sekali semasa penganjuran Minggu Solidariti Palestin oleh mana-mana institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Memetik sumber Berita Harian, KPM melalui kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian kebimbangan masyarakat mengenai video tular di media sosial mengenai sebuah program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme.

Katanya, KPM menggalakkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya yang dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober hingga 3 November ini.

“Ia bertujuan mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.

“Justeru, KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme di sepanjang penganjuran program Minggu Solidariti Palestin.

“Penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah dikawal supaya ia tidak menimbulkan sebarang masalah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pentadbiran sekolah untuk membuat pertimbangan sewajarnya berhubung program dianjurkan KPM itu.

Dalam pada itu, KPM menggalakkan penganjuran aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin di sepanjang pelaksanaan program terbabit.

“Sehubungan itu, semua institusi di bawah KPM diminta sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang ditetapkan.

“Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati,” katanya.