KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe sedia menerima hukuman dari pucuk kepimpinan parti DAP kerana menerima gelaran Datuk pada 7 Oktober lalu.
Dalam sebuah kenyataan bersama, mereka telah mengakui melanggar dasar parti dan memohon maaf.
“Walaupun sebelum ini kami telah menjelaskan kerumitan keadaan dan menekankan kewajipan kami untuk menghormati tanda muhibah daripada Tuan Yang Terutama Sabah dan kerajaan negeri, kami memahami bahawa ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk menggugat prinsip dan dasar parti.
“Sebagai rakyat Sabah, kami amat menghargai pengiktirafan Tuan Yang Terutama Negeri terhadap khidmat bakti DAP kepada rakyat dan masyarakat.
“Dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara tercinta sebagai wakil rakyat kekal teguh.
“Kami ingin meyakinkan semua orang bahawa komitmen kami untuk menegakkan prinsip dan nilai parti tidak berbelah bahagi,” kata mereka.
Dalam pada itu, mereka berkata mengambil kepada hati teguran keras Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan bersedia menerima tunjuk ajar parti serta nasihat dengan rendah hati dan fikiran terbuka.