Teknologi Graviti Hasil Inovasi Mahasiswa UMS Bantu Penternakan Ikan Komuniti Kg Natai

Teknologi Graviti Hasil Inovasi Mahasiswa UMS Bantu Penternakan Ikan Komuniti Kg Natai

0
SHARE

KOTA KINABALU: Inovasi sistem akuakultur tangki aliran berterusan berasaskan graviti yang dibangunkan oleh 52 mahasiswa Program Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya membantu komuniti Kampung Natai, Telipok menjalankan penternakan ikan secara lebih lestari.

Inovasi itu sekali gus menyokong usaha memperkukuh jaminan makanan di peringkat komuniti.

Sistem yang dibangunkan menerusi program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) itu memanfaatkan sumber air graviti dari kawasan tanah tinggi tanpa memerlukan penggunaan pam mekanikal, seterusnya mengurangkan kos operasi dan kebergantungan kepada tenaga elektrik.

Pensyarah Program Kejuruteraan Mekanikal UMS, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim berkata, sistem berkenaan direka bagi membolehkan air mengalir secara berterusan ke dalam tangki ternakan untuk mengekalkan kualiti air dan mengurangkan pengumpulan ammonia yang boleh menjejaskan tumbesaran ikan.

Menurut beliau, pendekatan tersebut berpotensi menjadi model akuakultur mampan yang sesuai dilaksanakan di kawasan luar bandar yang mempunyai sumber air graviti.

“Sistem ini menggunakan aliran air semula jadi yang mengalir secara berterusan ke dalam tangki ternakan, sekali gus membantu mengekalkan kualiti air dan mengurangkan pengumpulan ammonia yang boleh menjejaskan tumbesaran ikan.

“Selain menjimatkan kos operasi kerana tidak bergantung kepada tenaga elektrik, sistem ini juga lebih sesuai untuk kawasan berbukit seperti Kampung Natai yang mempunyai sumber air graviti,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan tangki polietilena yang dipasang di atas permukaan tanah turut mengurangkan risiko hakisan dan tanah runtuh berbanding pembinaan kolam tanah konvensional.

Projek yang dilaksanakan menerusi kursus KM21003 Mekanik Bendalir 2 bagi Semester 2 Sesi Akademik 2025/2026 itu memberi manfaat kepada kira-kira 80 penduduk kampung termasuk 10 peserta yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Mohd Kamel berkata, projek tersebut turut menjadi platform pembelajaran autentik kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bilik kuliah ke dalam situasi sebenar masyarakat.

“Mahasiswa berpeluang menerapkan pengetahuan berkaitan aliran bendalir, Persamaan Bernoulli, kehilangan tenaga dalam saluran paip serta kawalan kadar aliran air dalam pembangunan sistem sebenar.

“Pada masa sama, mereka turut memperoleh pengalaman berinteraksi dengan komuniti dan menyelesaikan masalah secara praktikal, selaras dengan objektif pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan menerusi SULAM,” katanya.

Program berkenaan mendapat sokongan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N18 Inanam dan dibiayai oleh Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik UMS menerusi Dana Khas Kecemerlangan berjumlah RM5,000.

Mohd Kamel berkata, projek tersebut membuktikan kepakaran kejuruteraan yang dimiliki universiti mampu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh aspek keselamatan dan jaminan makanan komuniti luar bandar.