Tujuh Penyelidik UMS Terima Geran RM5.75 juta Melalui PACD

Tujuh Penyelidik UMS Terima Geran RM5.75 juta Melalui PACD

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama tujuh penerima Anugerah PACD dari UMS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Tujuh penyelidik Universiti Malaysia Sabah menerima geran penyelidikan bernilai RM5.75 juta di bawah Petronas-Academia Collaboration Dialogue (PACD).

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata ia merupakan antara inisiatif baharu dan komitmen PETRONAS dalam usaha pembangunan modal insan serta kepakaran tempatan.

“Geran tersebut akan digunakan bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang berkaitan tenaga hijau seperti sistem penyimpanan tenaga bersih, pembangunan biotenaga dan penjanaan hidrogen yang cekap.

“Tahniah kepada semua penyelidik dan diharap dengan memanfaatkan kepakaran universiti, usaha-usaha kerjasama ini dapat membantu negara menghadapi cabaran serta merebut peluang di masa hadapan dalam memenuhi permintaan industri yang dinamik terhadap kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah PACD 2023 dan Upacara Menandatangani Perjanjian Program Asasi University College Sabah Foundation (UCSF) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), pada Khamis.

Tambah Bacho, satu perjanjian antara UCSF dan UTP turut dimeterai bagi tujuan kerjasama dengan menawarkan Program Asasi UCSF-UTP yang merupakan program setahun berdasarkan struktur kurikulum asasi UTP.

“Kerjasama ini akan membuka ruang kepada para pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia dari Sabah untuk menjalani pengajian asasi di UCSF seterusnya berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains dan kejuruteraan di kampus UTP, Bandar Seri Iskandar Perak.

“Diharap usaha ini dapat menarik minat anak-anak Sabah untuk mendaftar di UTP sekaligus menyumbang kepada pembangunan modal insan dalam sektor minyak dan gas di negeri ini,” katanya lagi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (SKN), Datuk Safar Untong dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar. — JABATAN PENERANGAN SABAH