BAP RM67 Juta Bantu Murid Sekolah Rendah, Menengah

BAP RM67 Juta Bantu Murid Sekolah Rendah, Menengah

0
SHARE
Arifin
Antara PPD yang menerima cek cura BAP ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM 67 juta dalam Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk membantu golongan murid sekolah rendah dan menengah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setiap murid akan menerima RM150 merangkumi sekolah rendah dan menengah iaitu murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

“Saya yakin bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi awal persekolahan dan semoga mereka dapat mengikuti pelajaran dengan baik.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana memberikan sumbangan untuk anak-anak Sabah dengan lebih RM67 juta BAP yang diperuntukkan.

“Proses saluran bantuan yang diagihkan kepada murid juga teratur dan berkesan yang dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah dibantu oleh Pengetua dan Guru Besar,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Sabah bagi Tahun 2024 di Dewan Sekolah Kebangsaan Malawa dekat sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Arifin turut menyatakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) juga menyediakan pinjaman dan biasiswa kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian dalam dan luar negara dan keutamaan akan diberikan kepada anak-anak yang cemerlang tanpa mengira kaum.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan kewangan yang besar bagi pembangunan modal insan berteraskan pendidikan STEM, pengendalian kursus dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal, perdagangan dan TVET,” jelas beliau.

Pada majlis itu, sebanyak 24 Pejabat Pendidikan Daerah menerima cek curah BAP dalam majlis tersebut dan peruntukan lebih RM67 juta tersebut melibatkan 1,298 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting. — JABATAN PENERANGAN SABAH