KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mencadangkan agar setiap Hospital dalam negeri ini dapat menubuhkan unit komunikasi korporat.
Perkara itu menurut beliau telah dibincangkan dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, ekoran kes kematian seorang bayi baru lahir di Hospital Likas baru-baru ini.
Shahelmey berkata unit itu supaya pihak Hospital dapat berhubung bersama masyarakat dengan lebih telus selain mengelakkan spekulasi dan tuduhan liar.
Insiden pada Ahad itu mengundang reaksi marah daripada orang awam yang mengatakan perkara itu tidak sepatutnya lagi berlaku pada tahun 2022 dan menyalahkan ketidakcekapan dan sikap sambil lewa petugas kesihatan.
“Masyarakat dinasihati untuk jangan keluarkan kata-kata kesat yang boleh mengurangkan motivasi petugas kesihatan negeri kita sebaliknya mengamalkan rukun negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.
“Kementerian Kesihatan dan JKNS mempunyai prosedur operasi standard dan etika sendiri ketika bertugas…
“Unit Komunikasi Koprat boleh menyalurkan maklumat yang boleh dikongsikan kepada umum untuk lebih menerangkan tentang perkara tersebut,” cadang beliau.
Mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam berkenaan gelombang baharu kes COVID-19 di Malaysia, Shahelmey mengingatkan penduduk Sabah untuk tidak leka.
“Kes semalam (Khamis) terus menaik dengan jumlah 137 kes. Ini menunjukkan virus itu sudah dalam komuniti dan kita kena sentiasa berwaspada,” katanya.
Beliau ditemui pada acara ‘flag-off’ bas elektrik Sabah yang pertama di Sabah tajaan Qhazanah Sabah Berhad di Sabah International Convention Centre hari ini.