KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengalu-alukan usaha Airasia dalam memperluaskan jaringan domestik mahupun antarabangsa dengan pembukaan laluan penerbangan baharu terus ke negeri itu.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin optimis dengan penambahan rangkaian baharu itu pastinya mampu menarik lebih ramai pelancong sekaligus merancakkan lagi industri pelancongan Sabah.
“Sehingga kini, laluan antarabangsa daripada Kota Kinabalu adalah penerbangan terus ke Singapore dan Manila…
“Manakala Kota Kinabalu ke Korea menerusi penerbangan Jin Air juga telah mula beroperasi.
“Menurut Riad, bermula Julai depan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Bangkok juga akan dimulakan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam satu perjumpaan khas dengan
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat di Pejabat Airasia Group Bhd Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman dan beberapa pegawai kerajaan lain.
Di samping itu, Jafry turut berkesempatan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.
Tan Sri Tony sempat menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah di atas kerjasama yang terjalin selama berpuluh tahun dalam memajukan industri penerbangan Airasia di negeri itu.
“Pihak Airasia juga dijangka akan membuka lebih banyak penerbangan antarabangsa di Sabah, walau bagaimanapun ia bergantung kepada pembukaan sempadan di negara terbabit.
“Sementara itu, Kementerian menerusi Lembaga Pelancongan Sabah turut bekerjasama dengan Airasia melalui aplikasi Super App dalam mempromosi destinasi pelancongan menarik di Sabah.
“Pelancong boleh terus menempah pakej penerbangan dan hotel, pelbagai makanan dan pengalaman lain sebelum memulakan percutian,” tambah beliau.
Jafry yakin, dengan adanya platform agensi pelancongan dalam talian yang lebih pantas dan kukuh itu membolehkan industri pelancongan berkembang lebih pesat.