KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Jordan Jude Ellron, mengadakan lawatan ke China bagi meneroka penggunaan teknologi papan pintar atau Smart Board untuk meningkatkan minat murid dalam bidang STEM.
Beliau berkata, lawatan pada 19 hingga 23 Oktober itu melibatkan perbincangan bersama syarikat Hisense menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Menurutnya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada perkhidmatan selepas jualan serta latihan kepada guru dan kakitangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Usaha itu bertujuan menjadikan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) lebih menarik serta mudah difahami murid.
Inisiatif berkenaan dijangka dilaksanakan pada 2027 dengan menyasarkan sekolah di kawasan pulau dan pedalaman Sabah.






