KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 150 pemanah tradisional dari seluruh Sabah termasuk Semenanjung Malaysia bakal berentap dalam Simulasi Cabaran Pemanah Ulung Borneo 2024 pada 17 Disember ini bertempat di Arena Memanah Tradisional UMS, Pantai UMS.
Kejohanan terbabit bukan sahaja bakal menguji pemanah tradisional dalam kemahiran memanah malah juga kemahiran melontar pisau, melontar kapak, melontar tombak, melastik, menyumpit dan juga berpedang.
Kejohanan anjuran Rajwa Archery, Pusat Pelaburan Endowmen dan wakaf UMS (CIEW) dan Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu itu telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada Sabtu lepas.
Turut hadir, Penolong Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (Strategik), Profesor Dr Mohammad Saffree Jeffree dan Pengarah Jabatan Pembangunan Pelancongan Bandaraya, DBKK Fauziahton Ag Samad.
Nizam dalam pada itu berkata sukan rakyat dan tradisi perlu diperkasakan serta diketengahkan agar tidak dilupakan generasi muda pada masa kini.
Menurutnya, beliau menyifatkan penganjuran kejohanan itu mampu memberi Impak positif kepada negeri bukan sahaja dari sudut sukan tetapi juga dari sudut ekonomi dan pelancongan di negeri Sabah.
“Kerajaan negeri amat menyokong segala usaha yang mampu mengharumkan nama Sabah di persada antarabangsa,” katanya.
Disamping itu, beliau juga turut berkata pihaknya berharap agar persatuan sukan di Sabah memberi perhatian khusus bagi memperkasakan kembali sukan seumpama ini.






