KINABATANGAN: Seorang lelaki, 48, maut manakala seorang lagi lelaki, 43, mengalami kecederaan selepas lori lapan tan yang dinaiki mereka dipercayai terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Paris 2, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada ja 5.16 pagi sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 40 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 5.40 pagi, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori lapan tan yang dipercayai terbabas sendiri. Terdapat dua mangsa lelaki yang tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan seorang mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, seorang lagi mangsa didapati tersepit di bawah bahagian hadapan atau kepala lori yang menghempapnya.
“Operasi menyelamatkan dijalankan menggunakan peralatan khas dengan bantuan sebuah jentera jengkaut bagi mengangkat bahagian hadapan lori untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai KKM sebelum mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi.






