KUALA LUMPUR: Pentadbiran Sabah di bawah kerajaan Warisan didakwa bersetuju dengan kadar geran khas lebih rendah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar itu melibatkan RM53.4 juta (2020–2021), RM80.1 juta (2022–2023) dan RM106.8 juta (2024), yang diluluskan Kabinet Sabah pada 16 Oktober 2019 dan disahkan melalui surat rasmi dua hari kemudian.
“Surat tersebut memaklumkan persetujuan kerajaan negeri ketika itu terhadap kadar geran khas bagi tempoh 2020 hingga 2024,” katanya.
Bagaimanapun, kadar itu tidak dimuktamadkan kerana tidak diwartakan sebelum kerajaan Persekutuan baharu pada 1 Mac 2020 memutuskan untuk mengkajinya semula.
Menurut Anwar, geran khas Sabah kekal RM26.7 juta sehingga 2021 sebelum dinaikkan kepada RM125.6 juta pada 2022 selepas semakan bersama dan diwartakan.
Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai rundingan dan persetujuan bertulis kerajaan Sabah berhubung kadar tersebut.
Pada 2025, kerajaan Persekutuan menggandakan geran khas kepada Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta setiap satu, dan jumlah itu dijangka meningkat hingga RM1.5 bilion tertakluk kepada pemuktamadan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.






