KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk bantuan pendaftaran di bawah program BUDI serta 1000 komputer riba di bawah BAIK untuk pelajar pendidikan tinggi yang layak tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Exco Pendidikan Datuk Dr Arifin Arif merasmikan majlis penyerahan kepada penerima di pejabat KSTI di Bandaran Berjaya pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Seri Dr Ghulam Haidar Khan, antara lain.
“Inisiatif di bawah Tabung Pendidikan Sabah (TPNS) adalah cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang amat mengambil berat tentang tahap pendidikan rakyat Sabah.
“Ini adalah untuk memperkasakan mereka yang memerlukan selain bantuan sedia ada iaitu daripada biasiswa negeri Yayasan Sabah, Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan kutipan zakat.
“10 juta di bawah BUDI akan disalurkan kepada 1500 pelajar universiti peringkat diploma dan 2000 peringkat ijazah.
“Hari ini (semalam) kami menyerahkan bantuan kepada anak-anak Sabah termasuk mereka yang belajar di institut berasaskan Yayasan Sabah,” katanya.
Mesyuarat ringkas TPNS sebelum penyerahan tengah hari menyaksikan kelulusan kursus pengenalan untuk rakyat Sabah yang bakal melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.
Sabah telah membelanjakan RM3 juta pada tahun 2023 untuk manfaat 8000 rakyat Sabah yang belajar di luar negara.
“Kursus itu akan mendedahkan mereka dengan bahasa dan cara hidup sebelum mendarat di sana.
“Antara perkara lain yang dibincangkan ialah bantuan untuk pelajar yang tidak layak mendapat biasiswa namun tetap melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” kata Arifin.