Mahasiswa Perlu Bijak Urus Kewangan, Elak Terjebak Skim Cepat Kaya

Mahasiswa Perlu Bijak Urus Kewangan, Elak Terjebak Skim Cepat Kaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan yang betul bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam skim cepat kaya serta pelaburan tidak sah yang semakin berleluasa pada masa kini.

Tokoh pasaran modal dan penganalisis ekonomi negara, Datuk Dr. Nazri Khan berkata, generasi muda perlu mula membina kesedaran kewangan sejak di bangku universiti agar mampu membuat keputusan yang lebih bijak dan berstrategi dalam mengurus masa depan kewangan mereka.

“Anak muda hari ini bukan sahaja perlu bijak mencari pendapatan, tetapi juga perlu memahami bagaimana mengurus dan mengembangkan kewangan secara berstrategi.

Mahasiswa perlu berani menimba ilmu dan memahami asas pelaburan terlebih dahulu supaya tidak mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya atau pelaburan tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Seminar Celik Saham bertemakan “Dari Kampus ke Bursa: Membina Masa Depan Kewangan Anda” yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Menurut beliau, pasaran saham bukan sekadar medium pelaburan, malah berfungsi sebagai platform pendidikan kewangan yang mampu membentuk disiplin, pengurusan risiko dan perancangan kewangan jangka panjang.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, universiti komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, keusahawanan serta kebijaksanaan mengurus kewangan secara berhemah.

Katanya, keupayaan memahami pengurusan kewangan dan pelaburan kini menjadi satu kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh setiap graduan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

“Pendedahan yang diberikan melalui seminar ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mahasiswa, malah membantu mereka memahami peluang dan cabaran dalam realiti dunia kewangan sebenar.

“Kecemerlangan masa depan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi kebijaksanaan dalam mengurus kehidupan dan kewangan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Profesor Datuk Dr. Ismail Ali semasa majlis perasmian seminar berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris berkata, penguasaan ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan amat penting dalam usaha melahirkan graduan yang lebih kompetitif serta bersedia menghadapi dunia pekerjaan dan keusahawanan.

Menurutnya, mahasiswa perlu memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada pakar industri bagi membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan strategik pada masa hadapan.

Seminar tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 800 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan universiti dan orang awam yang mengikuti perkongsian mengenai asas pelaburan saham, strategi pengurusan risiko, kaedah analisis pasaran serta kepentingan membuat kajian sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan UMS melalui PPIB dan CEDeC dalam memperkasakan mahasiswa dengan ilmu serta kemahiran relevan selaras dengan keperluan semasa industri dan dunia pekerjaan.