Bersih Digesa Tidak Seleweng Fakta, Hormati Autonomi Sabah

Bersih Digesa Tidak Seleweng Fakta, Hormati Autonomi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih berhubung sekatan kemasukan Pengarah Eksekutifnya ke Sabah disifatkan tidak berasas dan berpotensi mengelirukan rakyat apabila cuba mengaitkan tindakan penguatkuasaan imigresen sebagai bentuk intimidasi bermotif politik.

Aktivis NGO, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin menegaskan bahawa sebarang dakwaan sedemikian perlu disokong bukti kukuh dan tidak seharusnya dikaitkan secara langsung dengan kepimpinan negeri tanpa fakta jelas.

“Sabah mempunyai kedudukan istimewa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Akta Imigresen 1959/63 yang memberikan kuasa kepada kerajaan negeri dalam mengawal kemasukan individu ke Sabah, dan mekanisme seperti Notis Amaran Sabah (NAS) perlu dihormati semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menjelaskan bahawa Ketua Menteri Sabah ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah, justeru cubaan mengaitkan tindakan imigresen tersebut dengan arahan politik adalah tidak wajar.

Menurutnya, cubaan mengaitkan kes berkenaan dengan insiden lampau hanya membina persepsi negatif bahawa setiap tindakan penguatkuasaan mempunyai motif politik, sedangkan keputusan dibuat berdasarkan undang-undang dan pertimbangan keselamatan semasa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar isu peribadi atau keluarga tidak dijadikan alasan untuk mempertikaikan keputusan sah pihak berkuasa, selain menegaskan bahawa hak berhimpun perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengikut lunas undang-undang.

Muhammad Faisal berkata semua pihak, termasuk pihak luar, perlu menghormati autonomi Sabah dan tidak menjadikan negeri ini sebagai medan provokasi politik yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Semua pihak digesa menghormati proses perundangan, mengelakkan spekulasi tidak berasas serta memastikan setiap kenyataan awam dibuat secara bertanggungjawab demi kestabilan negeri,” katanya.