Penunggang Maut Dirempuh, Motosikal Terbakar di Jalan Utama, Putatan

Penunggang Maut Dirempuh, Motosikal Terbakar di Jalan Utama, Putatan

0
SHARE

PUTATAN: Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbakar 100 peratus akibat dirempuh sebuah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Utama berhampiran sebuah pusat jualan Perodua, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, PPgB Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota ke lokasi.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.51 pagi dan mendapati sebuah motosikal terbakar sepenuhnya selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan.

“Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera bagi memadamkan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang mangsa lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.17 pagi.

Kes kini disiasat oleh pihak PDRM bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.