KOTA KINABALU: Gerakan koperasi perlu terus diperkasa sebagai wadah menyatukan kekuatan masyarakat, membuka peluang ekonomi dan membina komuniti yang lebih berdikari serta berdaya tahan, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi mempunyai peranan penting bukan sahaja dalam menjana pendapatan, malah mampu memastikan masyarakat mendapat manfaat secara bersama daripada aktiviti ekonomi yang dilaksanakan.
“Gerakan koperasi merupakan wadah penting dalam menyatukan kekuatan masyarakat, membuka ruang dan peluang ekonomi serta membina komuniti yang lebih berdaya tahan, berdikari dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Kesedaran Komuniti Melalui Penubuhan dan Pembangunan Koperasi Sabah 2026 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Hotel 7 Suria, di sini, pada Sabtu.
Pada majlis itu, sebanyak 13 koperasi menerima Sijil Pendaftaran Koperasi yang disampaikan Mohamad, sekali gus menandakan penyertaan rasmi koperasi berkenaan dalam gerakan koperasi serta langkah awal ke arah pembangunan organisasi dan aktiviti ekonomi yang lebih tersusun serta berdaya maju.
Mohamad berkata, bersempena Bulan Kebangsaan, semangat kemerdekaan juga perlu diterjemahkan melalui usaha memperkukuh ekonomi rakyat dan memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan.
Menurutnya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut melaksanakan Strategi A.B.C.D yang merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian kepada Modal dan Daya Akses kepada Pasaran.
Strategi berkenaan katanya, bertujuan memperkasa usahawan dan koperasi, khususnya di kawasan luar bandar, supaya lebih berdaya saing serta mampu menjana pendapatan secara mampan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 memperuntukkan sebanyak RM1.015 bilion kepada KUSKOP, meningkat 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi, termasuk memberi manfaat kepada Bumiputera, wanita, belia, kumpulan B40 serta usahawan di Sabah dan Sarawak.
Gerakan koperasi ketika ini mempunyai lebih 7.1 juta anggota di seluruh negara dan memainkan peranan dalam menjana peluang ekonomi, mewujudkan pekerjaan serta memperkukuh jaringan sosial masyarakat.
Sehubungan itu, Mohamad mahu usaha meningkatkan kesedaran dan membudayakan gerakan koperasi terus dipergiat, terutama dalam kalangan belia, wanita, usahawan kecil serta masyarakat luar bandar.
Beliau turut menggalakkan institusi komuniti termasuk koperasi kariah masjid, persatuan dan pertubuhan setempat meneroka potensi penubuhan koperasi sebagai wadah pembangunan ekonomi dan sosial untuk manfaat masyarakat.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif berterusan KUSKOP menerusi SKM bagi memperluaskan kesedaran dan kefahaman mengenai peranan serta manfaat koperasi sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi komuniti.
Turut hadir Pengarah SKM Negeri Sabah, Haji Awg Ruslli Haji Mohammad; Timbalan Pengarah SKM Negeri Sabah, Malisah Sinin; pegawai SKM serta wakil gerakan koperasi dari seluruh Sabah.






