Pekerja Kontraktor Maut Terkena Renjatan Elektrik di Sandakan

Pekerja Kontraktor Maut Terkena Renjatan Elektrik di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang pekerja kontraktor elektrik berusia 30 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.53 malam sebelum tujuh anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.03 malam selepas menempuh perjalanan sejauh sembilan kilometer.

Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seorang lelaki yang dipercayai pekerja kontraktor elektrik terkena renjatan elektrik ketika kerja-kerja pemasangan tiang elektrik dijalankan.

Mangsa ketika itu masih berada di atas tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jimmy berkata, operasi menurunkan mangsa hanya dilakukan selepas pihak Sabah Electricity memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan selamat untuk anggota menjalankan kerja menyelamat.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk membantu menurunkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Sahat Salam itu membabitkan tujuh anggota BBP Sandakan dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas keadaan disahkan selamat serta tiada lagi risiko di lokasi.

Turut berada di lokasi ialah lima anggota Sabah Electricity, dua anggota PDRM dan dua petugas KKM.