KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya merampas sebuah bot pam yang disyaki membawa kira-kira 2,000 liter petrol tanpa kelulusan sah di perairan Damaran, Pulau Banggi, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, rampasan itu dibuat hasil maklumat risikan sebelum sepasukan bot peronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
Menurut beliau, sebaik pasukan penguat kuasa tiba di kawasan berkenaan, bot terbabit didapati ditinggalkan tanpa pengendali yang dipercayai melarikan diri bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa beberapa tong drum berwarna biru yang mengandungi petrol tanpa sebarang dokumen kebenaran. Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bot bersama muatan bahan api tersebut telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa dan menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.






