TAWAU: Sebanyak 40 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah dalam satu kebakaran besar di Kampung Titingan, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 10.15 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 10.23 pagi.
“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 131 x 147 meter persegi. Operasi pemadaman berdepan kesukaran disebabkan tekanan air yang rendah serta keadaan angin yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 900 kaki dengan enam pancutan, melibatkan sumber air daripada jentera bomba, lori tangki air, pili bomba serta air terbuka dari longkang berhampiran.
Seramai 25 anggota BBP Tawau dengan bantuan tujuh anggota Bomba Komuniti Titingan digerakkan ke lokasi kejadian, selain sokongan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Air.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.54 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 petang setelah pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Yahya Abd Fattah dengan pemantauan Pegawai Kanan Ketua Zon 5 Tawau, PgKB II Moilley Milin.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.






