Warga Emas Berpaut Pada Tong Demi Selamatkan Nyawa

Warga Emas Berpaut Pada Tong Demi Selamatkan Nyawa

0
SHARE
Lemas
Mangsa berpaut pada tong gelen yang digunakan sebagai pelampung selama lebih sehari ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )
Lemas
Mangsa dalam keadaan selamat di pangkalan TLDM Sepanggar ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang nelayan berpaut pada sebuah tong selama sehari demi menyelamatkan nyawanya selepas bot yang dinaiki bersama dua rakan karam dipukul ombak berhampiran Tanjung Karambunai, sini, pada pagi Rabu.

Mangsa Morris Dulin, 69, merupakan yang tertua antara ketiga mangsa itu, termasuk anaknya sendiri, Modilis Morris, 41, dan rakannya Masran Awangkie, 40.

Mereka berdua berjaya berenang ke pantai berdekatan untuk menyelamatkan diri.

Setelah lebih 24 jam usaha mencari dan menyelamat diaktifkan, khabar menaikkan semangat itu datang pada kira-kira 1.30 tengah hari tadi apabila Morris dilihat sedang hanyut di perairan Tanjung Gaya.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata jetika ditemui, mangsa berada dalam keadaan lemah dan sedang berpaut pada tong berwarna putih.

“Mangsa dikesan menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Mangsa seterusnya diselamatkan oleh KD Sundang dan dibawa ke Jeti Pangkalan TLDM Sepanggar untuk rawatan lanjut di Hospital Angkatan Tentera TLDM Sepanggar pada jam 2.30 petang tadi,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya ditamatkan pada jam lebih kurang 3.30 petang.

Lemas
Mangsa dalam keadaan selamat di pangkalan TLDM Sepanggar ( Sumber Foto: Ihsan TLDM Sepanggar )

Rosli berkata sebanyak tujuh buah aset laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah digerakkan.

Pencarian turut dibantu oleh aset udara serta pesawat tanpa pemandu (UAS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Dron milik PDRM dengan keluasan 81 batu nautika.

“Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa.

“Pastikan jaket keselamatan sentiasa dipakai dan alat perhubungan dibawa. Keadaan bot juga hendaklah dipastikan berada ditahap keselamatan yang tinggi untuk digunakan,” tegasnya.