PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bakal membuat ‘pembersihan besar-besaran’ terhadap beberapa individu yang mensabotaj parti dan calon pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang lepas.
Memetik sumber Harian Metro, menurutnya, perkara terbabit akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam satu mesyuarat yang akan diadakan esok.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai mesyuarat MKT esok akan menentukan nasib bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
“Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting.
“Saya kata dalam Perhimpunan Agung (UMNO) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada PRU lalu dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pilihan raya diadakan.
“Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa Insya-Allah esok malam akan terasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco- Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta pihak media untuk datang beramai-ramai bagi mengetahui senarai mereka yang terbabit.
“Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus embargo maklumat itu sehingga waktunya,” katanya.
Difahamkan mesyuarat MKT UMNO esok akan menentukan status keahlian Khairy dalam parti terbabit.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka ‘mengkritik’ beberapa pemimpin Umno, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.
Khairy yang tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Sungai Buloh, November lalu, secara terbuka turut mahu ‘membersihkan’ Umno jika menang di kerusi itu sebelum ini.
Selain itu, Khairy juga menarik perhatian apabila mendakwa terdapat ‘perwakilan import’ ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada Persidangan Agung Umno 2022 baru-baru ini yang mana ia dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan pihaknya akan memutuskan tarikh pemilihan parti, termasuk bagi jawatan tertingginya pada mesyuarat MKT UMNO, esok.