Tumpahan Kimia Di Sungai Kampung Rugading Dipercayai Minyak Hitam

Tumpahan Kimia Di Sungai Kampung Rugading Dipercayai Minyak Hitam

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Punca air sungai semakin keruh di Kampung Rugading sini dikhuatiri akibat tumpahan sisa kimia berbahaya.

Penduduk setempat telah memaklumkan pihak berkuasa semalam apabila mula menghidu bau yang kuat seakan minyak bahan api.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dan Kota Kinabalu termasuk pasukan khas HAZMAT pada jam 6.30 petang turun ke lokasi susulan laporan yang diterima.

“Pasukan HAZMAT telah mengambil bacaan air sungai dan mendapati bacaan adalah PH 6.8 (Neutral)…

“Walaubagaimanapun, terdapat bahan kimia (sisa buangan berjadual) dikesan berdasarkan alat pengesan HAZMAT wujud dalam larutan air sungai,” lapor Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.

Kira-kira 10 pagi tadi, pasukan daripada bersama Jabatan Kimia dan Jabatan Alam Sekitar Sabah sekali lagi telah mengambil sampel air untuk proses analisis.

Mengulas lanjut, Ketua BBP Tuaran, PKPgB Mohd Qawie Gapar berkata 13 item ditemui dalam bacaan sampel semalam yang bersamaan dengan kandungan minyak hitam.

“Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah turut berada di lokasi dan bekerjasama dengan pihak Bomba bagi membendung sisa kimia ini daripada terus mengalir,” katanya.

Siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui jika sumber sisa toksik itu dibuang ke dalam sungai secara sengaja atau sebaliknya.