Turun Padang Antara Ciri Penting Wakil Rakyat – Bung

Turun Padang Antara Ciri Penting Wakil Rakyat – Bung

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Amalan turun padang adalah antara empat ciri utama yang perlu ada pada setiap wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima secara menyeluruh oleh rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, seorang wakil rakyat perlu rajin turun padang untuk meninjau sendiri masalah rakyat di kawasan mereka.

“Jika ini menjadi budaya dan amalan setiap wakil rakyat, jalinan hubungan kemesraan antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi akan terus kukuh untuk terus menyokong pemimpin dan kerajaan,” katanya…

Bung (tengah) bersama wakil-wakil rakyat yang lain menunjukkan isyarat bagus setelah menyelasaikan tugas CSR di kampung Langung Ayang Kudat…

Beliau berkata demikian keselepas mengetuai program gotong royong sempena pemukiman ‘Retreat Backbenchers’ wakil-wakil rakyat GRS di Kampung Langung Ayang Kudat pada Sabtu .

Sebanyak tiga kumpulan menyertai program tersebut dengan masing-masing menjayakan program gotong royong membaik pulih rumah seorang penduduk di kampung Langung Ayang dan masjid di kampung Bahagia serta gelanggang sepak takraw di Kampung Gumpa.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, program-program amal yang dilakukan selaras dengan apa yang ditekankan oleh kerajaan selama ini selain merupakan prinsip utama konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata konsep tersebut turut menekankan supaya pembangunan negara bersifat inklusif iaitu tiada rakyat yang dipinggirkan daripada manfaat pembangunan dan pembaharuan negara.

Bagi menjayakan pembangunan tersebut, Bung berkata bukan sahaja kerajaan perlu menentu dan melaksanakan program-program amal, tetapi wakil rakyat juga sepatutnya membantu mencapai objektif melalui aktiviti dan program yang dianjurkan.

“Jadi melalui jaringan sosial seperti ini, lebih ramai orang kurang upaya dan golongan daif dapat dicapai,” katanya.