KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sedang memantau rapat perkembangan krisis tenaga dan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada Malaysia termasuk Sabah.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memanggil satu mesyuarat khas melibatkan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bagi membincangkan cabaran semasa termasuk impak kenaikan harga minyak dan kos barangan.
“Mesyuarat itu bertujuan memberi taklimat mengenai masalah yang kita hadapi. Bukan sahaja Malaysia tetapi negara-negara lain di dunia turut terkesan akibat perang di Iran.
“Kita menghadapi krisis tenaga dan kemungkinan krisis ekonomi akibat kenaikan harga minyak dan barang. Jadi kita diminta supaya memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri bersama media, di sini, malam Sabtu.
Menurutnya, di peringkat Persekutuan, kerajaan telah mengambil langkah awal dengan mengarahkan sebahagian penjawat awam bekerja dari rumah (BDR) bermula pertengahan April sebagai usaha penjimatan tenaga dan perbelanjaan.
“Ini satu perkara yang harus diberi perhatian bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga rakyat kerana walaupun berlaku di Timur Tengah, kesannya kepada ekonomi dan tenaga dirasai oleh semua negara,” katanya.
Mengulas keupayaan Sabah menghadapi tekanan kos tenaga, Hajiji menjelaskan negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal, khususnya dari segi bekalan elektrik.
“Kita di Sabah mempunyai kapasiti tenaga elektrik sekitar 1,400 megawatt (MW), di mana kira-kira 1,100 MW dibekalkan melalui gas dari Petronas. Jadi kesannya tidak begitu besar.
“Cuma sekitar 300 MW lagi bergantung kepada diesel dan ini kita pantau kerana jika harga diesel meningkat, ia boleh menjejaskan keadaan di Sabah,” jelasnya.
Beliau turut mengakui kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada diesel, termasuk menara telekomunikasi, berisiko terkesan sekiranya berlaku kenaikan harga bahan api tersebut.
“Memang memberi kesan jika diesel naik, tetapi setakat ini Sabah masih menerima subsidi yang membantu meringankan beban. Kita akan terus memantau dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini tiada laporan kekurangan diesel di kawasan pedalaman.
Mengenai kemungkinan pelaksanaan dasar BDR di peringkat negeri, Hajiji berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri.
“Kita akan pantau lagi dan saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat kabinet akan datang. Jika ada keperluan, kita akan laksanakan,” katanya.






