Sabah FC Ikat Kedah FC Di Stadium Darul Aman

Sabah FC Ikat Kedah FC Di Stadium Darul Aman

0
SHARE

ALOR SETAR, KEDAH – Sabah FC mengikat Kedah Darul Aman FC, 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Walaupun berjaya mengutip 1 mata, keputusan itu sedikit menjejaskan misi Sabah yang mengumpul 35 mata selepas 16 perlawanan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim, dengan 38 mata manakala Kedah naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan keenam liga dengan 18 mata.

Pada babak perlawanan pertama malam tadi, Kedah berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang import Ronald Ngah seawal minit keenam, menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Sabah cuba bangkit menerusi percubaan Gary Steven Robat pada minit ke-21, namun percubaannya melepasi palang gol.

Pemain Sabah Taiki Kagayama hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Mahmoud Al-Mardi memperoleh peluang keemasan pada minit ke-34 dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran silang daripada kapten Kedah, Syazwan Zainon, namun percubaannya pula tersasar ke bahagian kiri gawang Sabah.

Bermula babak kedua, skuad Badak (The Rhinos) terus menekan tuan rumah menerusi kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-64, tetapi percubaannya dinafikan Ifwat.

Akhirnya, penyerang gantian, Muhammad Farhan Roslan muncul wira Sabah FC berjaya menjaringkan gol pada minit ke-83 menerusi hantaran daripada Saddil Ramdani.