KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata, yang mempersoalkan cadangan pembinaan Kompleks Sukan baharu di Tawau disifatkan sebagai kurang tepat dari sudut kefahaman struktur pentadbiran dan bidang kuasa kementerian.
Mohammad Hafiz Amiruddin berkata, pembinaan Kompleks Sukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, yang dipertanggungjawabkan merancang pembangunan kemudahan sukan, belia dan ekonomi kreatif mengikut keperluan jangka panjang negeri.
Menurutnya, perancangan pembangunan sukan tidak dibuat semata-mata berdasarkan keperluan semasa, sebaliknya mengambil kira pembangunan sosial, pembinaan bakat, pertumbuhan ekonomi kreatif serta perkembangan bandar.
“Isu kesesakan Jalan Apas pula adalah berkaitan infrastruktur jalan raya yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, bergantung kepada status jalan berkenaan. Ia bukan di bawah kementerian sukan dan tidak bersaing secara langsung dari segi peruntukan,” katanya dalam kenyataan.
Hafiz berkata, membandingkan projek Kompleks Sukan dengan masalah kesesakan jalan raya seolah-olah kedua-duanya berada di bawah satu kementerian dan satu bajet adalah tidak tepat dari sudut pentadbiran kerajaan.
“Hakikatnya, kerajaan mempunyai pelbagai kementerian dengan peranan khusus. Sesuatu projek tidak wajar ditolak hanya kerana masih wujud isu lain yang berada di bawah agensi berbeza,” katanya.
Beliau menegaskan pembangunan negeri tidak boleh bersifat satu dimensi, sebaliknya perlu dilaksanakan secara seiring dan menyeluruh.
“Menyelesaikan kesesakan jalan adalah penting, namun dalam masa sama pembangunan sukan, belia dan ekonomi kreatif juga tidak boleh dihentikan. Kerajaan perlu bergerak serentak, bukan memilih satu dan menafikan yang lain,” katanya.
Sehubungan itu, Hafiz menegaskan kritikan terhadap dasar atau projek kerajaan wajar dibuat, namun perlu berasaskan fakta pentadbiran, struktur bidang kuasa serta peranan sebenar setiap kementerian.
“Perbahasan awam yang matang dan membina hanya dapat dicapai jika semua pihak memahami konteks pentadbiran dan proses perancangan pembangunan negeri,” katanya.






