Gagal Kemuka Dokumen, Bot Penumpang Ditahan di Perairan Kota Kinabalu

Gagal Kemuka Dokumen, Bot Penumpang Ditahan di Perairan Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot penumpang yang mencurigakan semasa operasi pemeriksaan rutin di perairan Kota Kinabalu, kira-kira 1.01 batu nautika barat laut Tanjung Lita, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali, berkata bot berkenaan dikendalikan oleh seorang juragan dan dua kru yang dipercayai warganegara Filipina berusia antara 14 hingga 39 tahun.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan pasport, dokumen perjalanan atau permit sah.

“Susulan itu, bot bersama juragan dan kru ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Nilai keseluruhan rampasan aset dianggarkan berjumlah RM30,000.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairulanuar menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi rondaan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.