KOTA KINABALU: Sebuah penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Brunei terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Jumaat lalu susulan isu teknikal melibatkan tekanan kabin.
Penerbangan AK278 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 1.45 petang selamat mendarat di Kota Kinabalu, dengan semua penumpang dan kru turun tanpa sebarang insiden.
AirAsia dalam kenyataan memaklumkan juruterbang bertindak mengikut prosedur operasi standard sebaik amaran tekanan kabin dikesan semasa penerbangan. Pesawat Airbus berkenaan kini menjalani pemeriksaan teknikal lanjut.
Penumpang dibantu oleh kakitangan darat sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei menaiki penerbangan lain pada jam 8.08 malam hari sama.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Fareh Mazputra, berkata kru penerbangan bertindak pantas dan profesional dalam memastikan keselamatan semua pihak, sambil menghargai kesabaran penumpang sepanjang proses tersebut.






