AYER KEROH: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh anggota dan pimpinan parti agar melupakan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan, sebaliknya kembali fokus memperkukuh organisasi demi menghadapi cabaran politik akan datang.
Beliau yang juga Perdana Menteri menegaskan, seluruh warga PKR perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha membaiki kelemahan kendiri dan parti tanpa terus terbelenggu dengan keputusan pilihan raya lalu.
“Pulanglah dengan semangat yang sama, bersihkan organisasi kita, diri kita dan seluruh jalan hidup kita. Insya-Allah, jangan bicara lagi soal Johor dan Negeri Sembilan.
“Dengan semangat yang anak-anak dan saudara-saudara tunjukkan, saya yakin sejarah akan menentukan kemenangan mutlak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan bahawa PKR tidak boleh sesekali mencari jalan pintas untuk mencapai kemenangan kerana keutuhan perjuangan parti sentiasa menuntut pengorbanan serta komitmen tinggi.
“Bekerjalah sekarang dan bekerja keras. Dahulu saya kata ‘lawan mereka dan lawan bersungguh-sungguh’. Sekarang saya sebut, bekerja keras! Tiada jalan pintas.
“Jangan pilih cara orang lain, shortcut to heaven, shortcut to victory. There is no shortcut,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, laluan perjuangan yang dipilih parti sememangnya penuh berliku dan sukar, justeru setiap anggota perlu kekal istiqamah.
“Jalan kita jalan yang sukar dan kita sudah pilih jalan itu. Too late to change. Namun melihat wajah-wajah saudara, yang lama pun sudah kembali dan yang baharu mula muncul, Masya-Allah,” katanya.






