AYER KEROH: Pemangku Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika berunding dengan lawan politik bagi mengelakkan risiko dikhianati.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, walaupun Anwar perlu terus bersikap diplomatik sebagai ketua pemerintah, kewaspadaan serta kesiapsiagaan politik tidak seharusnya diketepikan sama sekali.
“Anwar boleh terus senyum sebab beliau Perdana Menteri. Namun, sambil tersenyum, ‘keris di pinggang’ tetap perlu dipegang.
“Saya ingat satu pesanan, jika kamu pergi berperang, jangan lupa bawa pena kerana boleh jadi musuh mengajak berunding. Namun, jika kamu pergi berunding, jangan lupa bawa pedang kerana boleh jadi musuh akan mengkhianati kamu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju Kerajaan Madani, Saifuddin mendesak agar politik identiti dan perkauman ditolak, sebaliknya tumpuan penuh diberikan kepada agenda bantuan berasaskan keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum.
Jelasnya, tiga teras utama yang perlu dipegang teguh oleh kerajaan merangkumi usaha membesarkan kek ekonomi negara, mengekalkan dasar bantuan berasaskan keperluan, serta meneruskan tindakan tegas menentang amalan rasuah.
“Jangan layan politik identiti. Kali ini kita perhebatkan bantuan kepada rakyat berasaskan keperluan… Miskin tidak kenal siapa sama ada Melayu, Cina, India mahupun Iban.
“Namun memandangkan majoriti golongan miskin di negara ini terdiri daripada orang Melayu, dasar bantuan berasaskan keperluan ini secara tidak langsung akan memberi manfaat paling besar kepada kaum berkenaan,” jelasnya.
Dalam ucapan sama, Saifuddin turut menyindir tindakan sesetengah pihak dan kepimpinan negeri ditadbir pembangkan yang mendakwa dianak-tirikan, sedangkan kerajaan Persekutuan terus menambah alokasi peruntukan saban tahun biarpun sumbangan hasil cukai negeri berkenaan kepada Perbendaharaan adalah kecil.
“Tiga tahun berturut-turut Perdana Menteri tambah peruntukan… tetapi masih ada yang sebut negeri mereka dianak-tirikan. Kalau tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kepada manusia, mereka juga tidak akan bersyukur kepada Allah,” bidasnya.
Selain itu, beliau turut membidas dakwaan kepimpinan Pas yang menuduh usaha kerajaan menyiasat penyelewengan dan rasuah sebagai tindakan menghina orang Melayu.
“Rasuah bukan isu jenayah berasaskan kaum, sebaliknya satu sifat mazmumah yang perlu dilawan tanpa mengira latar belakang etnik. Kita lawan rasuah bukan kerana pesalah itu Melayu, Cina atau India, tetapi kerana amalan itu sendiri keji,” tegas beliau.






