AYER KEROH: Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan peluang meneruskan kepemimpinan beliau sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua demi memastikan agenda reformasi struktural, khususnya pembinaan struktur gaji yang lebih adil untuk pekerja, dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan, langkah berkenaan amat krusial bagi memastikan kadar upah yang diterima rakyat meningkat seiring dengan pertumbuhan produktiviti negara.
Menurut beliau, meskipun produktiviti pekerja menunjukkan peningkatan, kadar pendapatan yang dibawa pulang (take-home salary) masih berada pada paras yang belum memuaskan.
“Setiap pekerja yang memberi kita makanan, menghidangkan kita, dan menjaga kita sepanjang kongres, peratus gaji yang mereka bawa balik rumah hanyalah sekitar 33 peratus sahaja.
“Ini berlaku walaupun produktiviti bertambah. Bagaimana pekerja tidak kecewa? Justeru, penggal kedua nanti, biiznillah, membolehkan Datuk Seri Anwar meneruskan reformasi struktural ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah menjelaskan bahawa usaha meningkatkan peratusan bahagian gaji pekerja memerlukan pelaksanaan dasar yang lebih mendalam serta menyeluruh.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara yang lebih besar mesti disusuli dengan pengagihan kekayaan secara adil agar limpahan manfaatnya dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.
Jelasnya, pertumbuhan ekonomi bukan pengganti kepada keadilan pengagihan, sebaliknya kedua-dua elemen tersebut perlu bergerak selari.
“Kek yang lebih besar memberikan kita lebih banyak ruang untuk diagihkan kepada semua, termasuk orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat. Ini juga menjadi asas kepada kenaikan upah.
“Pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih banyak dan bermakna, selain membuka ruang lebih luas kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), golongan wanita serta anak muda untuk menyertai ekonomi arus perdana,” katanya lagi.






