KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, akan bertemu dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, pada Selasa (7 Mac) bagi membincangkan penubuhan hospital jantung Sabah yang pertama.
James berkata sudah tiba masanya Sabah mempunyai hospital khusus bagi pesakit jantung seperti Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur dan Pusat Jantung Sarawak.
“Saya telah melawat Hospital Queen Elizabeth 2 baru-baru ini dan mendapati bahawa hanya 50 katil disediakan bagi pesakit jantung, walhal terdapat lebih 100 pesakit jantung pada suatu masa.
“Mereka terpaksa dipindahkan ke tingkat lain. Perkara ini membeban dan merumitkan kerja para petugas kesihatan kita.
“Semenanjung ada (pusat jantung), Sarawak pun ada, Sabah bila lagi?” katanya.
beliau ketika ditemui selepas melancarkan Jerayawara Bengkel Keibubapaan: Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Peringkat Negeri Sabah di sebuah hotel di Tanjung Aru, sini, semalam.
Selain itu, beliau juga akan membincangkan dengan Zaliha berkenaan penubuhan sekolah khusus bagi kanak-kanak autisma pertama di Malaysia, yang berkemungkinan akan ditubuhkan di Sabah.
James berkata secara prinsipalnya, kedua-dua penubuhan institut itu sudah diluluskan dalam mesyuarat kabinet sementara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, memberikan sokongan untuk ianya dipercepatkan.
“Semakin ramai individu didiagnosis dengan penyakit tersebut terutamanya kanak-kanak. Kos pembiayaan dan pembelajaran tidak murah dan kebanyakkan penduduk di Sabah tidak berpendapatan besar.
“Dalam masa terdekat ini, saya dan Setiausaha Tetap Kementerian bersama beberapa wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan melawat sekolah khusus autisma di Singapura bagi mempelajari proses pengendalian serta mendapat anggaran kos bagi mendirikan sekolah sebegitu rupa di Sabah.
“Di Sabah, masalahnya bukan kerana kekurangan pakar tetapi kekurangan fasiliti bagi membimbing kanak-kanak penghidap autisma ini,” tambahnya.
James berkata sekolah itu akan cuba meringankan kos pembiayaan tinggi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak autisme di Sabah.





