KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad mencipta nama dalam industri muzik Nusantara, kumpulan New Boyz bakal kembali menemui peminat menerusi Konsert New Boyz Meraung – Live in Singapore di The Star Theatre, Singapura pada 5 Disember depan.
Konsert anjuran MSN Entertainment yang dijadualkan bermula jam 8 malam itu bakal menyaksikan New Boyz yang dianggotai Tomok selaku vokalis, Jay dan Afiez (gitar), Zack (bes) serta Along dan Ristoe (dram) menghidupkan kembali deretan karya yang mewarnai perjalanan seni mereka.
Menurut wakil MSN Entertainment, Aynn, pemilihan nama ‘Meraung’ mempunyai nilai sentimental kerana ia merupakan antara lagu popular daripada album Akur yang diterbitkan pada 2000.
“Sengaja konsert ini diberi nama New Boyz Meraung – Live in Singapore sempena mengenang momen yang sangat signifikan dengan kugiran ini sendiri.
“Meraung adalah lagu yang cukup hit dari album Akur yang diterbitkan pada tahun 2000 dan kini, selepas 26 tahun ia masih relevan serta sangat signifikan kepada peminat lama serta bakal menjadi ‘salam kenal’ kepada semua peminat generasi baharu,” katanya dalam kenyataan.
Selain Meraung, kumpulan itu bakal mempersembahkan pilihan daripada katalog lagu mereka yang sudah menjadi sebahagian daripada memori peminat, termasuk Sejarah Mungkin Berulang.
Sementara itu, Tomok berkata, konsert berkenaan menjadi satu lagi permulaan baharu buat New Boyz, khususnya di Singapura yang disifatkannya sebagai antara negara yang banyak menyokong perjalanan seni kumpulan itu sejak awal kemunculan.
“Selepas dua tahun kami tidak mengadakan persembahan, New Boyz memilih untuk memulakan konsert di Singapura sebagai apresiasi kepada peminat di sini yang tidak pernah putus menyokong perjalanan seni kami sejak dahulu sehingga kini.
“Jika diimbau, Singapura adalah negara yang paling kerap New Boyz singgahi pada zaman awal kemunculan dan tanggal 5 Disember 2026 ini, kami mahu kembali dengan New Boyz Meraung – Live in Singapore, bukan sahaja untuk membangkitkan nostalgia tetapi merayakan kesetiaan semua peminat buat kami,” katanya.
Tomok turut berharap konsert itu mampu menghimpunkan peminat New Boyz dari Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia untuk bersama-sama meraikan perjalanan muzik kumpulan berkenaan.
Tiket konsert ditawarkan dalam lima kategori iaitu Silver pada SGD99, Gold (SGD149), Platinum (SGD159), Diamond (SGD169) dan VIP (SGD259) menerusi SISTIC.
Pemegang tiket VIP pula bakal menikmati beberapa keistimewaan termasuk sesi bertemu dan beramah mesra bersama anggota New Boyz, pas VIP eksklusif, lanyard, poster dan beg tote, selain akses laluan ekspres bagi pemeriksaan barangan dagangan dan tiket.
New Boyz Meraung – Live in Singapore berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 5 Disember 2026, jam 8 malam, dengan JEN Singapore Tanglin sebagai hotel rasmi, Trmaya sebagai rakan F&B rasmi dan Gerobok KuehSG sebagai pencuci mulut rasmi.






