KOTA KINABALU: Sebanyak 56 Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di seluruh negara, termasuk tujuh di Sabah, terlibat menjayakan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing dalam usaha memperkukuh budaya kepedulian, kesukarelawanan dan saling membantu dalam kalangan mahasiswa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penglibatan GPS menerusi inisiatif itu perlu membawa manfaat langsung kepada kehidupan mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan.
“Melalui i-FB, mereka turut menjadi penggerak yang menyuburkan budaya kepedulian, kesukarelawanan dan saling membantu.
“Usaha ini penting untuk membina jaringan sokongan agar mahasiswa yang berdepan kekangan dapat memberikan tumpuan kepada pengajian,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Armizan berkata, ketika ini terdapat 196 GPS di seluruh negara, termasuk 34 di Sabah, dengan 56 daripadanya terlibat menjayakan i-FB di IPT masing-masing.
Beliau berkata, sokongan menerusi jaringan itu diharap dapat memperkukuh kerjasama antara mahasiswa, pihak institusi, sektor swasta dan rakan strategik KPDN bagi menggerakkan i-FB secara berterusan.
Menurutnya, semangat keprihatinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa juga perlu terus disuburkan, selaras dengan transformasi peranan GPS melalui i-FB yang berteraskan 3S — Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
“Empati dan peduli rakan mahasiswa — inilah antara transformasi peranan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang mahu kita perkukuh melalui Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB), sejajar dengan tiga terasnya, 3S,” katanya.
Terdahulu, Armizan bersama lebih 1,000 mahasiswa dalam Program Advokasi Kepenggunaan dalam Aktivisme Belia dan Penyerahan Geran Ihsan Food Bank (i-FB) di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.
Katanya, pertemuan itu turut membuka ruang untuk berdialog mengenai isu kos sara hidup serta peranan mahasiswa dalam menggerakkan advokasi kepenggunaan di kampus.
Pada majlis sama, Armizan menyempurnakan penyerahan geran i-FB kepada GPS UiTM Sabah yang diharap dapat memperkukuh usaha kebajikan mahasiswa serta memastikan bantuan makanan disalurkan secara tersusun kepada mereka yang memerlukan.
Beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan bakul makanan daripada lapan operator dan rakan strategik KPDN kepada UiTM, selain menyerahkan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH KPDN kepada pengusaha kantin Kolej Manukan, UiTM Kota Kinabalu.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Belia Sabah, UiTM Sabah dan semua rakan strategik atas kerjasama menjayakan program itu.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat terus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pengguna yang bijak dan cakna, selain menjadi penggerak komuniti kampus yang mengambil berat terhadap kebajikan sesama mereka.






