Mangsa Banjir di Penampang, Menggatal Meningkat 199 Orang, Empat PPS Diaktifkan

Mangsa Banjir di Penampang, Menggatal Meningkat 199 Orang, Empat PPS Diaktifkan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 199 orang daripada 62 ketua isi rumah (KIR) setakat jam 12 tengah hari ini, dengan empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan membabitkan daerah Penampang dan Menggatal, Kota Kinabalu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, tiga PPS di Penampang kini menempatkan mangsa, manakala sebuah PPS di Dewan Masyarakat Manggatal, Kota Kinabalu masih dalam proses pendaftaran.

Kesemua 199 mangsa yang direkodkan setakat ini adalah dari Penampang, membabitkan 15 kampung.

“PPS Parish Hall (St. Michael) Penampang telah ditutup pada jam 8 pagi, 2 Oktober 2026, manakala dua PPS di Penampang meningkat. PPS Dewan Masyarakat Manggatal, Kota Kinabalu masih dalam proses pendaftaran oleh pihak JPKA,” menurut JPBN Sabah.

Berdasarkan pecahan terkini, Kompleks Sukan Penampang menempatkan 72 mangsa daripada 17 KIR dan kekal pada jumlah berkenaan.

Sementara itu, jumlah mangsa di Dewan Huguan Siou, Penampang meningkat kepada 44 orang daripada 18 KIR, manakala St Paul Kolopis, Penampang turut meningkat kepada 83 mangsa daripada 27 KIR.

PPS Parish Hall (St Michael), Penampang yang dibuka pada jam 11 malam, Khamis, pula ditutup pada jam 8 pagi hari ini selepas tiada lagi mangsa ditempatkan di pusat berkenaan.

Data JPBN menunjukkan jumlah mangsa meningkat daripada 142 orang melibatkan 50 KIR pada jam 8 pagi kepada 199 orang daripada 62 KIR pada jam 12 tengah hari.