KOTA KINABALU, SABAH – Masyarakat digesa agar terus mempertahankan kemerdekaan negara dan jiwa.
Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin berkata kemerdekaan yang diperjuangkan secara bersama oleh warga terdahulu harus dipertahankan.
“Kemerdekaan negara diperjuangkan secara bersama oleh warga Malaysia pelbagai kaum. Kejayaan Malaysia telah dibina atas usaha bersama.
“Untuk itu, kemerdekaan negara dan kemerdekaan warga perlu terus dipertahankan,” kata Raisin.
Dalam ucapannya, beliau turut mengajak masyarakat untuk tidak membenarkan bumi dan minda kita dijajah semula.
“Marilah kita terus menghidupkan pemikiran dan jiwa merdeka di kalangan warganya dan akan terus berpegang kepada konsep keadilan dan kesaksamaan, mengusahakan kemiskinan dihapuskan dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara bersama.
“Bersamalah kita membara puntung-puntung perjuangan, untuk kita himpunkan, untuk kita terus menyemarakkan semangat kemerdekaan, untuk kita terus nyalakan obor kemerdekaan,” ujar beliau.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Muddin Beting dalam Karnival Kemerdekaan 67 Dan Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024.
Karnival yang berlangsung semenjak awal pagi itu menyajikan pelbagai persembahan oleh Pentarama dan warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Turut hadir dalam karnival tersebut Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor yang juga selaku ketua konvoi KMJG 2024. — JABATAN PENERANGAN SABAH