KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Sabah yang disambut serentak dengan Hari Kebangsaan menjadi sejarah baharu buat rakyat buat rakyat di negeri ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
“Di peringkat kementerian memang kita arahkan kepada semua universiti politeknik dan kolej komuniti ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang, di semua premis kita kita pasang dengan Jalur Gemilang dan juga bendera negeri masing-masing.
“Terutamanya di Sabah ini agak unik sebab pada tahun ini adalah tahun bersejarah kita akan menyambut Hari Kebangsaan dan juga sekaligus Hari Sabah.
“Ini adalah satu sejarah baru bagi negeri ini dan kita mahu supaya semua penduduk rakyat Malaysia di Sabah bersatu padu dalam satu bumbung untuk kita memastikan bahawa negeri dan negara ini akan terus terpelihara dari segi keamanan dan juga keselamatan.
“Jadi, kita kena kekalkan keharmonian ini dan kita pastikan bahwa malaysia ini akan kekal selamanya,” ujar beliau semasa ditemui media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Kota Kinabalu di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu.
Beliau turut berkata program KMJG amat baik kerana dapat melibatkan segenap lapisan masyarakat dalam memupuk semangat kemerdekaan.
“Kita melibatkan pelajar agensi kerajaan dan juga akhirnya kita juga melibatkan generasi muda kita yang berada di Politeknik ini untuk mereka sama-sama merasai semangat kemerdekaan itu dalam kita menyambut Hari Kebangsaan dan juga Hari Malaysia yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.
Konvoi KMJG 2024 yang dianggotai oleh 60 orang peserta dari pelbagai agensi memilih Politeknik KK sebagai perhentian terakhir selepas mengelilingi seluruh negeri Sabah dalam masa 19 hari.
Turut hadir dalam program tersebut Pembantu Menteri Kewangan I Tan Lee Fat, Pengarah Politeknik KK Md Nor Abdul Halim dan Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor selaku ketua konvoi KMJG 2024. — JABATAN PENERANGAN SABAH