Laporan Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Telah...

Laporan Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Telah Dibentangkan – Wan Junaidi

0
SHARE
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar...

PUTRAJAYA – Laporan Pasukan Petugas Khas berhubung semakan undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri oleh ahli Pasukan Petugas Khas tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata laporan terbabit telah disediakan oleh Pasukan Petugas Khas dalam tempoh sembilan bulan bermula 9 November tahun lepas sehingga 30 Ogos tahun ini.

Menurutnya, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan, mengadakan siri perbincangan, mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau juga turut menjelaskan Pasukan Petugas Khas telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil merangkumi ‘legal aspects’, ‘tort of misfeasance’ dan hubungan Malaysia-Singapura.

“Kerajaan telah meneliti dan memuktamadkan beberapa langkah seterusnya yang akan dilaksanakan demi mengembalikan maruah serta kedaulatan negara berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan terutama melibatkan isu persempadanan maritim Malaysia dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Junaidi turut menegaskan bahawa penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas melalui laporan ini adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian dan pemerhatian ahli Pasukan Petugas Khas.

“Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen Kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini dan menyokong dasar luar negara…

“Antara lainnya ialah menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keselamatan Malaysia,” katanya.