Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Isu Tanah-Tanah Persekutuan di Sabah

Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Isu Tanah-Tanah Persekutuan di Sabah

0
SHARE
Datuk James Ratib, Menteri KPMKR

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib mencadangkan agar satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi tujuan menangani hal berkaitan Tanah-Tanah Persekutuan di Sabah.

Katanya, mengenai isu Tanah Persekutuan di Sabah yang masih banyak tertangguh dan belum selesai, beliau mencadangkan penubuhan itu untuk membuat pemutihan ke atas semua tanah-tanah berkenaan. 

“Melalui Jawatankuasa ini, kita akan dapat mengenalpasti mana-mana tanah kerajaan yang sudah ada geran, mana yang masih berstatus Permohonan Tanah (PT) dan mana bangunan-bangunan kerajaan persekutuan yang masih belum dipohon.

“Ini perlu, supaya projek-projek yang akan datang dapat dimulakan dengan kadar yang segera.

“Tiada guna juga para Ahli Parlimen, YB-YB dan pemimpin bersuara lantang di peringkat Persekutuan meminta peruntukan untuk Sabah, sedangkan isu tanah di sini belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

James yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, ini menyebabkan semua peruntukan tidak dapat diselesaikan kerana perkara asas belum selesai dan begitu juga dengan teknikal utiliti lain.

Beliau turut berharap agar dalam tahun ini hingga tahun depan, isu berkenaan tanah-tanah di Sabah diselesaikan supaya tidak ada lagi tanah-tanah yang belum dipohon atau tanah-tanah yang berstatus PT.

“Ini supaya projek-projek yang diberikan oleh Persekutuan kepada Sabah dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” tegasnya.

Baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 47 tapak tanah persekutuan di Sabah belum dipohon, manakala 120 tapak telah ada PT, sementara 219 tapak telah ada Hakmilik Berdaftar.

Justeru itu, beliau menggesa kementerian dan jabatan berkaitan menyelesaikan segera isu pewartaan tanah persekutuan yang sudah tertangguh lama di negeri ini.