Wanita Didenda RM8,000 Pinda Status Agama Guna Maklumat Palsu

Wanita Didenda RM8,000 Pinda Status Agama Guna Maklumat Palsu

0
SHARE
Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang wanita didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menggunakan maklumat palsu ketika membuat permohonan pindaan ke atas status agama MyKadnya tahun lalu.

Tertuduh, Nur Sarimah Subuka, 24 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Majistret Lovely Natasha Charles.

Kesalahan itu dilakukan dengan mengemukakan dokumen Perintah Mahkamah Syariah Kota Kinabalu palsu pada 12 September 2023 jam 3.53 petang di kaunter Pendaftaran negara (JPN) Kota Kinabalu.

Kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh datang ke Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu untuk meminda butiran MyKadnya, iaitu status agama dan namanya.

Nur Sarimah telah menyerahkan borang permohonan itu bersama-sama dokumen sokongan seperti MyKad, Sijil Kelahiran dan Perintah Permohonan Menukar Taraf Agama Islam daripada Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu untuk diproses.

Bagaimanapun, proses panel JPN Putrajaya mendapati Perintah tersebut yang didakwa daripada Mahkamah Syariah Kota Kinabalu adalah palsu yang mmebawa kepada penahanan dan didakwa di mahkamah hari ini. 

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Ming Zoong @ Lawrence memohon agar hukuman anak guamnya diringankan kerana tertuduh adalah seorang suri rumah dan mempunyai dua orang anak.

Menurut Lim, tertuduh dimaklumkan oleh seorang individu bahawa permohonannya akan berjaya selagi ada bayaran sebagai pertukaran agama Islam kepada Kristian.

Katanya, Nur Sarimah mahu menukar status agamanya sekarang kepada kristian kerana dibesarkan dalam keluarga yang tidak bahagia di mana bapanya telah meninggalkan mereka dan dia dibesarkan sendiri oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal dan beragama Kristian.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menggesa agar hukuman pencegahan dikenakan kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM8,000 dan difahamkan tertuduh membayar denda tersebut.