Istana Seri Kinabalu Hentian Pertama Hari Terakhir KMJG

Istana Seri Kinabalu Hentian Pertama Hari Terakhir KMJG

0
SHARE
Juhar
Jainisah diiringi Supian (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Juhar sambil diperhatikan oleh Toh Puan Norlidah (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Memasuki hari terakhir siri penjelajahan, Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah memilih Istana Seri Kinabalu sebagai hentian pertama.

Seawal jam 8 pagi, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menyantuni para peserta konvoi sambil memberikan kata semangat untuk meneruskan perjuangan kempen kibar Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah hingga 31 Ogos ini.

Sambil berseloroh, beliau sempat mencadangkan supaya konvoi KMJG digabungkan dengan konvoi motorsikal berkuasa tinggi pada tahun depan bagi memberikan impak maksimum kepada rakyat.

Pada majlis itu, Tun Juhar menerima Jalur Gemilang yang diserahkan oleh Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor yang juga ketua konvoi diiringi Timbalannya, Supian Musa.

Selepas itu, Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah menandatangani Buku Catatan Perjalanan Konvoi KMJG sebagai simbolik kehadiran konvoi di institusi terpenting dalam pentadbiran negeri ini.

Usai penyampaian cenderamata, Tun Juhar kemudiannya menyempurnakan upacara pelepasan Konvoi KMJG yang disertai 60 orang daripada 14 agensi dan jabatan dengan 15 buah kenderaan.

Hentian di Istana Seri Kinabalu antara usaha signifikan Jabatan Penerangan Sabah untuk mengangkat martabat pejabat dan kediaman rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri sebagai institusi pentadbiran yang penting di negeri ini.

Sabah pernah ditadbir oleh 20 Gabenor di bawah North Borneo Chartered Company sejak tahun 1881 sebelum empat Gabenor semasa pemerintahan kerajaan kolonial.

Mencapai kemerdekaan sejak 31 Ogos 1963, Sabah seterusnya menyertai Persekutuan Malaysia 16 hari kemudian dan hingga hari ini Negeri di Bawah Bayu ini sudah ditadbir oleh sembilan TYT. — JABATAN PENERANGAN SABAH