239 Lot Niaga Tamu Putatan Siap Dibina Dengan Kos RM10 Juta

239 Lot Niaga Tamu Putatan Siap Dibina Dengan Kos RM10 Juta

0
SHARE
Kor ming
Kor Ming (empat dari kanan) menerima cenderahati kenangan dari Joachim (lima dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Sebanyak 239 lot niaga Pasar Tamu Putatan siap dibina membabitkan kos berjumlah RM10 juta.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata lot tersebut tersebut merupakan projek pembinaan semula pasar tamu di tapak asal yang dibina dalam tempoh tiga tahun dua bulan mulai 17 September 2020.

“Projek ini amat penting untuk menggantikan tapak tamu sedia ada menjadi fasiliti baru yang lebih selesa, mesra kepada peniaga dan pengguna termasuk kemudahan kemudahan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Tapak tamu yang baru ini boleh menyediakan 239 lot niaga terdiri daripada 24 gerai basah, 36 gerai separa kering dan 172 tapak peniaga sementara serta tujuh gerai makan yang siap sepenuhnya pada Disember tahun lepas,” jelasnya kepada media semasa Majlis Penyerahan Tamu Putatan, pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan dengan adanya fasiliti yang lebih teratur, luas dan kondusif termasuk surau, ruang mencuci dan lain-lain tersebut, para peniaga serta pengunjung mendapat manfaat yang sewajarnya termasuk meningkatkan pendapatan sosial ekonomi masyarakat setempat .

“Bukan sahaja dapat menjadi tempat kunjungan komuniti setempat, malahan dapat menjadi tarikan pelancong kerana industri pelancongan sesungguhnya berpotensi besar di negeri Sabah,” ujarnya.

Terdahulu, Kor Ming merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Putatan dan membuat lawatan kerja ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai, Putatan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu. — JABATAN PENERANGAN SABAH