Lelaki Hilang Lepas Solat Maghrib Ditemui Lemas di Sungai

Lelaki Hilang Lepas Solat Maghrib Ditemui Lemas di Sungai

0
SHARE

PEKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Ahad, ditemui maut dipercayai lemas di Sungai Pahang berdekatan tangki air Kampung Pasir Panjang di sini hari ini.

Mayat mangsa, Mohd Suffian Abu Bakar, 39 tahun ditemui terapung oleh penduduk kampung kira-kira jam 9.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut selepas mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, kakak mangsa kemudian membuat pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa berdasarkan pakaian serta tanda pada badannya.

“Hasil bedah mendapati tiada sebarang unsur dan mencurigakan pada tubuh badan si mati dan mengklasifikasikan kematian sebagai ‘Drowning’.

“Mayat telah diserahkan kepada pihak keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mohd Zaidi memberitahu, berdasarkan laporan, mangsa dikatakan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas pergi menunaikan solat Maghrib di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, di sini pada Ahad.

Katanya, mangsa keluar rumah tidak membawa apa-apa barang keperluan.